Anak Ketua Balai Lukut maut kemalangan


ANAK bongsu Ketua Balai Polis Lukut, Sub Inspektor Zazali Tawil maut dalam kemalangan di Jalan Seremban-Port Dickson petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, Mohamad Safwan Zazali, 21, yang  menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Mangsa tercampak sebelum digilis kenderaan yang datang dari arah Seremban.

Difahamkan, Safwan dalam perjalanan pulang ke rumah dari kolejnya di MSU College Seremban.

"Semalam arwah beritahu ada aktiviti memanjat bukit bersama rakan sekuliah di sekitar Seremban, dia memang aktif dalam pelbagai aktiviti sukan sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

"Tiada tanda pelik yang ditunjukkan arwah, tingkah lakunya seperti biasa sehinggalah kami menerima berita kemalangan ini.

"Apa yang berlaku ini adalah ketentuan Tuhan. Kami sekeluarga reda dan akan sentiasa berdoa agar rohnya dicucuri rahmat," kata Zazali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes tersebut jelasnya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 

Post a comment

0 Comments