Anggota polis maut ketika konvoi


SEORANG
anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar penghadang tengah lebuh raya.

Dalam kejadian di KM411 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Lembah Beringin Hulu Selangor pagi semalam,  Lans Koperal Mohd Azmi Zainal Abidin, 30, yang bertugas di Balai Polis Kepong, Kuala Lumpur meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis RXZ yang ditunggang Mohd Azmi bergesel dengan sebuah lagi motosikal sama yang dinaiki rakannya, juga seorang anggota polis.

"Mangsa dan rakannya yang menunggang berasingan dipercayai berkonvoi dalam satu kumpulan kira-kira 30 orang dari Kuala Lumpur menuju ke Sungkai, Perak.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa melanggar motosikal rakannya, Lans Koperal Abdul Halim Don menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas dan melanggar penghadang tengah lebuh raya sebelum terjatuh di lorong kanan,”katanya ketika dihubungi.

Azman berkata, rakan mangsa, yang bertugas sebagai anggota Pasukan Simpanan Persekutuan mengalami patah kaki kanan dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a comment

0 Comments