Anwar cari jalan selesai isu Teluk Kemang


PUSAT peranginan pinggir laut, Port Dickson dijangka bakal berwajah baru tidak lama.

Ia dengan menyelesaikan beberapa masalah disuarakan pelancong dan rakyat di kawasan itu termasuk berkaitan isu kawasan gerai yang tidak tersusun sehingga mengganggu kelancaran perjalanan kenderaan.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu mengenainya telah dibincangkan Yang Dipertua Daerah Majlis Perbandaran Port Dickson, Mohd Zamri Mohd Esa dan Pegawai Daerah, Khairy Maamor.

Tambah Anwar, usaha tersebut diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong selain memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

“Saya tengok kawasan ada masalah sikit, terlalu sesak dan terbatas.

"Bagaimanapun isu kebersihan dan kesihatan pihak majlis telah diambil tindakan dan saya berpuas hati dan kalau tengok pengawasannya jauh lebih baik daripada dahulu.

“Mengenai khemah di Pantai Port Dickson ini pula, memang Yang Dipertua Majlis sudah memaklumkan kepada saya bahawa khemah memang kita akan ambil alih supaya dapat diseragamkan dan tingkatkan mutunya tetapi perlu ambil masa untuk dilaksanakan sebab ia dalam peruntukan tahun ini iaitu peruntukan suku pertama tahun ini,” katanya.

Anwar sebelumnya mengadakan program tinjauan mesra di sekitar Teluk Kemang.

Terdahulu, terdapat rungutan segelintir pengunjung yang rasa tidak selesa dengan keadaan pantai yang dipenuhi khemah yang dipasang peniaga.

Bagaimanapun jelas Anwar, sebarang usaha menangani isu tersebut tidak seharusnya membebankan peniaga.

Post a comment

0 Comments