Anwar tak maafkan pemfitnah, Saman tetap saman


DATUK SERI  Anwar Ibrahim mengakui tidak dapat memaafkan bekas pembantu penyelidiknya Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual terhadapnya.

Ketika mengulas keputusan Jabatan Peguam Negara yang mengetepikan tuduhan serangan seksual ke atas Anwar, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu menegaskan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Yusuff sebelum ini.

“Saya tidak dapat memaafkan tuduhan yang jelek, semborono dan menghina terhadap saya.

“Untuk memastikan keadilan ditegakkan, tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini akan diteruskan,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menutup kes serangan seksual yang dituduh keatas Anwar kerana antaranya fakta dalam kes itu bercanggah.

Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek dilaporkan berkata, terdapat percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau seksyen lain di bawah kanun sama.

“Kami juga mendapati tidak cukup bukti untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar sementara itu berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Jabatan Peguam Negara.

“Saya turut ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkuasa atas profesionalisme yang ditonjolkan.”

Yusoff dalam akuan berkanun bertarikh 19 Nov tahun lalu berkata, beliau menolak cubaan Anwar mencabul kehormatannya di rumah ahli Parlimen Port Dickson itu pada 2 Okt 2018.

Anwar menolak dakwaan itu dengan berkata, ia adalah cubaan untuk mencemarkan reputasinya dan mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap Yusoff.

Post a comment

0 Comments