Artifak purba di Baling bukti penting kebudayaan Hoabinhian


PENEMUAN
artifak tinggalan prasejarah di kawasan Gunung Pulai, Baling, Kedah dianggap bukti kewujudan kelompok manusia kebudayaan Hoabinhian antara 3,000 tahun hingga 17,000 tahun.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli yang dipetik laporan Sinar berkata, penemuan tinggalan itu penting selepas lapisan kebudayaan terdahulu yang dikesan di tapak sama musnah akibat aktiviti manusia.

“Pentarikhan mutlak daripada sampel siput pada lapisan dinding kebudayaan terakhir menunjukkan masyarakat terawal mendiami kawasan sekitar Gunung Pulai dan Bukit Baling, yang wujud bersebelahan antara satu sama lain, kira-kira 16,000 hingga 17,000 tahun yang lalu,” katanya dipetik laporan itu.

Beliau berkata, dalam kajian yang pernah dibuat pada tahun 2018, pihaknya telah menemui sisa makanan daripada spesies siput sungai, tulang haiwan dipercayai tulang babi hutan, monyet, rusa dan burung.

“Turut ditemui pada dinding lapisan kebudayaan setebal lebih tiga meter itu ialah alat litik, termasuk kapak genggam Haobinhian, alat batu pengetuk, alat batu giling dan batu landas.

“Pemeriksaan permukaan juga menemukan tulang dipercayai tulang manusia dan kami percaya gua ini juga digunakan sebagai salah satu tapak pengebumian masyarakat prasejarah di kawasan Baling,” katanya lagi.

Jabatan Warisan Negara (JWN) baru-baru ini mendedahkan penemuan lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik.

Pesuruhjaya Warisan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop berkata, artifak diangagrkan berusia 17,000 tahun itu ditemui ketika jabatannya sedang menjalankan eksplorasi di kawasan berkenaan antara April hingga Oktober tahun lalu.

Sebagai rekod, di Malaysia, ahli sejarawan telah membahagikan zaman prasejarah kepada empat zaman sahaja iaitu Zaman Paleolitik, Zaman Hoabinhian, Zaman Neolitik dan Zaman Logam.
 

Post a comment

0 Comments