Atlet pecut remaja positif bahan terlarang


ATLET
pecut muda negara berusia 17 tahun dilapor didapati positif doping ketika menyertai Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019, Ogos tahun lalu.

Presiden KOM, Datuk S M Muthu berkata berkata, atlet tersebut sebelum ini beraksi dalam acara 4x100 meter.

Susulan itu jelasnya, atlet muda itu bakal berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun.

“Dua jenis bahan terlarang methasterone dan oxymetholone telah dijumpai dalam ujian tersebut, dipercayai digunakan bagi meningkatkan daya prestasi tetapi siasatan masih berjalan dan telah memasuki fasa akhir.

“Kita perlu kumpulkan seberapa banyak maklumat sebelum memutuskan sebarang tindakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa KOM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata, KOM telah memanggil atlet tersebut dan seorang jurulatih kebangsaan, masing-masing pada 26 Disember lepas dan semalam bagi sesi pendengaran pertama sebelum kedua-dua mereka akan dipanggil semula minggu hadapan bagi sesi kedua.

Pada masa sama, Naib Presiden KOM, Datuk R Annamalai berkata, jika didapati bersalah, atlet tersebut bakal digantung daripada menyertai sebarang kejohanan dalam dan luar negara selama empat tahun.

“Jika steroid yang kuat macam ini memang empat tahun (hukuman)...tidak boleh elak. Cuma jika atlet itu boleh buktikan sesuatu (dianiaya) dia mungkin terlepas,” jelasnya.

Post a comment

0 Comments