Awas mat rempit, polis akan gempur!


PIHAK berkuasa polis bakal membanteras kegiatan samseng jalanan atau ‘mat rempit’ yang dilihat semakin berleluasa.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata polis menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman telah mengenal pasti beberapa lokasi tumpuan kumpulan itu dan bakal melaksana operasi besar-besaran menanganinya.

“Polis terima banyak aduan dan orang ramai susah untuk bergerak berikutan aktiviti daripada mat rempit.

“Jadi polis telah atur strategi khusus untuk banteras mat rempit dan saya beri amaran...kami akan lakukan sehabisnya untuk banteras kegiatan ini,” katanya dipetik laporan oleh bernama.

Ditanya adakah kumpulan yang sering berkonvoi ke tempat tertentu juga tergolong dalam kategori mat rempit, beliau berkata mereka ini adalah kumpulan berbeza.

“Mereka yang berkonvoi adalah kumpulan yang teratur dan akan maklum kepada polis trafik pergerakan mereka sebaliknya mat rempit sering terlibat dalam pertaruhan tertentu,” katanya.

Selain berkumpul di sesuatu kawasan dan membuat kecoh, kumpulan mat rempit sering dikaitkan dengan perlumbaan haram sesama sendiri.

Mereka turut dikesan gemar  melakukan aksi berbahaya seperti 'zig-zag' dan 'superman' yang boleh membahayakan nyawa orang lain.

Post a comment

0 Comments