Bayi 9 bulan maut bersama 3 ahli keluarga


EMPAT
termasuk seorang bayi berusia 9 bulan maut dalam kemalangan di Kilometer 448.0 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sungai Buloh awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Asiah Mat, 74, Ain Fazira Mohd Yazid, 25, Ruzi Osman, 54, dan bayi, Nur Tiara Arisha Muhammad Taslim.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, suami Ain Fazira, Mohamad Taslim Jamsari, 31, yang memandu kenderaan dinaiki mereka cedera dalam kejadian itu.

"Kejadian berlaku apabila Proton Satria dipandu Mohamad Taslim dikatakan terbabas sebelum dirempuh Mitsubishi ASX dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah belakang," kata Azman dalam satu kenyataan.

Rempuhan itu menurutnya lagi mengakibatkan tiga mangsa iaitu Asiah, Ain Fazira, dan Nur Tiara Arisha dalam Proton Satria melambung keluar.

"Dua mangsa (Asiah dan Ain Fazira) maut di tempat kejadian, manakala dua lagi (Nur Tiara Arisha dan Ruzi) meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Sungai Buloh.

"Pemandu Proton Satria (Mohamad Taslim) sedang dirawat di zon merah Hospital Sungai Buloh, manakala pemandu Mitsubishi ASX mengalami kecederaan ringan,"jelas Azman.

Sementara itu tambahnya,  siasatan lanjut masih lagi dijalankan pihak polis dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a comment

0 Comments