Budaya takfiri cemar Islam, gugat keharmonian


PARTI
Amanah Negara (AMANAH) menyuarakan rasa bimbang amalan takfiri (mengkafirkan orang Islam).

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, sikap itu yang dilihat semakin menular dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini bukan saja merosakkan Muslim malah mencemar agama serta memusnahkan keharmonian negara.

Jika tidak ditangani segera ia tegasnya bukan sahaja boleh merosakkan imej Islam, sekali gus memusnahkan keharmonian Malaysia.

"Dengan kata lain, ia juga boleh menyemai sikap dan pemikiran melampau sehingga boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara," katanya dalam kenyataan media.

Menteri Pertahanan itu memberi contoh atas apa yang berlaku di Timur Tengah khususnya di Iraq dan Syria.

Mohamad membuat kenyataan itu susulan muat naik seorang pemilik akaun Facebook memuat naik satu status menyasarkan Naib Presiden Amanah, Dr Mujahid Yusof dengan menulis "menteri agama, berjiwa kafir".

Difahamkan, dua laporan polis dibuat masing-masing oleh Amanah Wilayah Persekutuan dan Terengganu terhadap pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ust Ibrahim Mohd Raja.

Sementara itu Mohamad menggesa semua pihak berperanan dalam mengekang amalan keji tersebut.

"Amanah menggesa semua pihak memainkan peranan dalam mengekang budaya tidak sihat dan bercanggah dengan ajaran agama ini, di samping melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan agar tidak berulang pada masa akan datang," katanya lagi
 

Post a comment

0 Comments