Cadang hukuman berat buat pemandu mabuk


AKTA sedia ada berkaitan kelakuan memandu di bawah pengaruh alkohol mungkin bakal diperkasakan.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang secara lanjut dari segi perundangan dan sebagainya terlebih dahulu sebelum perkara itu dapat dibawa ke Kementerian Pengangkutan.

Perbincangan itu kelak jelasnya bagi mencadangkan hukuman setimpal terhadap pemandu mabuk.

"Kita masih menggunakan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dalam masa sama kita juga ada undang-undang lain yang boleh digunakan.

"Kita akan mencadangkan kepada kementerian (Kementerian Pengangkutan) untuk meminda APJ bagi memberi hukuman berat dan setimpal terutama kepada pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Tambahnya, pihaknya sentiasa bersedia sekiranya dipanggil oleh pihak kementerian untuk membincangkan dengan lebih lanjut berhubung perkara ini.

BACA:
Menteri janji kaji isu pemandu mabuk

Sementara itu jelas Azisman, setakat ini JSPT hanya bertanggungjawab dari segi penguatkuasaan dan siasatan.

Namun pihaknya tetap memberi pemantauan khusus bagi mengesan pemandu mabuk dengan rondaan terutama di waktu selepas waktu kemuncak di mana pengunjung keluar untuk pulang selepas berhibur.

Post a comment

0 Comments