Calon Warisan janji berjuang habis-habisan


CALON Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang membuat janji untuk meneruskan perjuangan bagi memastikan pembangunan dalam kawasan dalam parlimen Kimanis diteruskan.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas diumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen itu, beliau berkata, masih banyak yang perlu dilakukan di kawasan tersebut.

“Kita mempunyai waktu dekat tiga tahun sebelum pilihan raya umum akan datang jadi saya yakin dalam masa tiga tahun itu banyak program, banyak idea yang boleh kita laksanakan untuk membantu penduduk di kawasan Parlimen Kimanis.

“Masalah rakyat, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut kadang-kadang lebih besar berbanding kawasan lain, kita masih ramai penduduk di luar bandar kemudahan infrastruktur, jalan raya, talian elektrik dan juga perhubungan sekolah semua ini masih memerlukan perhatian yang serius,” katanya.

Sementara itu, Karim melahirkan rasa kesyukuran dan mengucapkan terima kasih kepada Mohd. Shafie yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi calon di dalam PRK Kimanis.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan berjuang habis-habisan untuk memastikan kemenangan kepada Warisan dan tidak mahu mengecewakan pimpinan serta ahli Warisan.

Post a comment

0 Comments