Calon Warisan mahu majukan sektor pelancongan


CALON
Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang mempunyai visi untuk menjadikan Kimanis sebagai kawasan eko pelancongan.

Katanya, kawasan seperti Membakut dan Bongawan mempunyai potensi besar untuk menjadi tumpuan pelancongan kerana memiliki landskap, bentuk muka bumi dan keunikannya tersendiri.

Beliau berkata industri eko pelancongan bukan sahaja akan memperkenalkan lagi kawasan itu, tetapi juga dapat membuka peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan sekaligus menjana pendapatan mereka.

“Kimanis merupakan kawasan yang mempunyai pemandangan indah, bermula dari tanah tinggi di Banjaran Crocker hingga ke kawasan sawah padi, sungai dan pantai…malah di Binsulok terdapat kawasan paya bakau.

“Saya gambarkan satu hari nanti tempat ini akan menjadi tempat amat menarik sekali, dengan adanya industri-industri tertentu orang boleh bekerja dan pelancong boleh datang,” katanya ketika berkempen di Kampung Sri Serbang, Bongawan.

PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN). Warisan mempertaruhkan Karim, 67, manakala BN meletakkan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan.
 

Post a comment

0 Comments