Cuaca kering: Pesawah lega MADA salur air ke sawah


PESAWAH di sekitar Padang Perahu dekat Jitra,kini menarik nafas lega apabila Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sudah membekalkan air ke kawasan sawah mereka.

Wakil petani, Zaki Ibrahim, 47, yang dipetik bernama berkata, kira-kira 50 petani yang mengusahakan lebih 100 relung sawah sebelum ini berhadapan masalah tanah kering akibat cuaca panas.

"Bekalan air yang masuk ini tahan untuk tiga hingga empat minggu. Sesuai dengan padi sedang membesar dan keluar buah. Lepas itu, air dipam masuk sekali lagi, ia dah cukup untuk kami," katanya.

Sebelum ini, cuaca panas dan kemarau yang melanda negeri ini mula menimbulkan keresahan kepada segelintir petani apabila tanah sawah mereka kekeringan dan merekah akibat kekurangan air.

Masalah kekurangan air mengakibatkan baja tidak dapat ditabur sehingga menyebabkan padi yang ditanam kekurangan nutrisi.

Sehubungan itu, Zaki berkata dia dan kesemua pesawah terlibat mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak Mada yang bertindak dengan kadar segera membekalkan air ke kawasan sawah mereka.

Sementara itu, Pengurus Besar Mada Datuk Fouzi Ali berkata pihak Mada mengamalkan sistem Pengairan Secara Bergilir bagi mengoptimumkan pengagihan air di kawasan Muda seluas 100,658 hektar.

"Penggiliran ini dibuat secara mingguan mengikut keperluan di bendang dilaksanakan di antara Wilayah Mada bagi mengurangkan kadar pelepasan air daripada empangan.

"Dengan cabaran dan kekangan semasa, pelepasan air daripada Empangan Pedu pada kadar 113.2 meter padu sesaat dapat membekalkan paras bekalan penuh di terusan dan tali air bagi hanya 70 peratus Kawasan Muda," katanya.

Post a comment

0 Comments