Demo isu Zuraidah perbuatan sia-sia


SEBARANG perhimpunan sama ada menyokong atau membantah pemecatan Zuraida Kamaruddin tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Sehubungan itu, Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim  menggesa pihak yang berkumpul di hadapan ibu pejabat parti dan di mana saja supaya bersurai.

"Merujuk kepada kumpulan yang hadir dan berkumpul di depan ibu pejabat KEADILAN bagi menyokong atau membantah pemecatan Zuraida Kamaruddin, saya meminta kepada mereka untuk bersurai.

"Tindakan menyokong atau membantah di mana-mana lokasi lain juga sama sekali tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin yang harus memutuskan sebarang keputusan secara bebas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pagi tadi, penyokong Zuraida yang dikenakan surat tunjuk sebab atas alasan pelanggaran disiplin berkumpul di ibu pejabat parti itu.

Turut berkumpul adalah satu lagi kumpulan yang mahu tindakan pecat dikenakan terhadap Zuraida yang juga Naib Presiden Parti itu.

Sebelum ini satu memo yang mengajak penyokong Zuraida mengadakan himpunan solidariti tular di media sosial.

Beberapa lokasi di Kelantan, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Johor dan Negeri Sembilan ditetapkan bagi himpunan serentak itu.

Zuraida dijangka menyerahkan alasan surat tunjuk sebab berkaitan dengan ucapannya yang dibuat semasa perhimpunan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Renaissance Hotel bulan lepas.
 

Post a comment

0 Comments