Dong Zong mengalah, setuju Jawi bukan agenda Islamisasi


PERTUBUHAN pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) akhirnya mengalah dah mengakui pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) bukan bermotifkan Islamisasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata perkara itu disepakati semasa pertemuan bersama Dong Jiao Zong serta 11 pertubuhan berkaitan pendidikan Cina dan Tamil di pejabatnya.

Tambah Mujahid, pertubuhan itu juga menerima Jawi sebagai sebahagian daripada warisan budaya negara yang perlu dihormati sebagaimana kaligrafi Cina, tulisan Tamil dan etnik lain di negara ini.

"Isu yang dibangkitkan adalah kaedah perlaksanaan pembelajaran yang memerlukan perbincangan secara konstruktif oleh semua pihak," katanya dipetik laporan Bernama.

Terdahulu, isu tulisan jawi menjadi polimik budaya, ia digunakan pihak tertentu untuk menyemarakkan lagi isu perkauman di negara ini yang gagal ditangani kerajaan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini membidas pengkritik pelaksanaan tulisan Jawi dengan berkata, bantahan sesetengah pihak terhadap pengenalannya  'agak keterlaluan' apatah lagi tulisan Jawi merupakan satu daripada khazanah kebangsaan.


BACA: Jawi- Anwar gesa semua pihak hormati keputusan k'jaan

Tegasnya, semua pihak wajar menghormati keputusan kerajaan memperkenalkan pembelajaran Jawi dan tidak mengheret isu tersebut menjadi polimik perkauman.

Dalam perkembangan sama, Mujahid sementara itu mendedahkan pertemuan itu juga mencapai kesepakatan bahawa mereka  perlu meredakan ketegangan dalam isu yang menyinggung sensitiviti mana-mana pihak melalui pendekatan penuh berhikmah dan bijaksana.

Mujahid berkata perkara itu amat penting untuk dilakukan agar pihak yang selama ini menangguk di air keruh tidak berpeluang mengeksploitasikan keadaan untuk agenda sempit masing-masing.

 

Post a comment

0 Comments