Dua pemimpin Umno dihadap ke Mahkamah hari ini


DUA
pemimpin Umno bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Mereka, ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan dan bekas ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Semalam Ahmad Maslan dan Shahrir ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan untuk melengkapkan proses siasatan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan.

"Shahrir dan Ahmad masing-masing bakal menghadapi satu dan dua pertuduhan," kata SPRM dalam satu kenyataan.

SPRM tidak mengulas lanjut mengenai kesalahan yang didakwa dilakukan mereka. Semua maklumat berkaitan kes itu akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka sebelum ini dikaitkan menerima wang daripada bekas perdana menteri Najib Razak, yang sumber dananya didakwa disalahgunakan daripada  1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut jejak wang dalam akaun bank Najib, Ahmad menerima RM2 juta dari akaun bank bekas perdana menteri itu yang nombor akaunnya berakhir 906 pada 27 November 2013.

Pada 28 Nov 2013, Shahril juga menerima RM1 juta dari akaun bank yang sama.

Sebagai rekod,  Shahrir merupakan ketua Umno Johor Bahru, bekas ahli Parlimen Johor Bahru, dan pernah menjadi pengerusi Felda, manakala Ahmad Maslan adalah ahli majlis tertinggi Umno, ahli Parlimen Pontian, dan pernah menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan Industri.

Post a comment

0 Comments