E-Tunai: Tak perlu bimbang, data peribadi tak bocor


RAKYAT digesa untuk bersikap lebih rasional dan tidak mudah dikelirukan pihak tidak bertanggungjawab dalam isu melibatkan program e-Tunai Rakyat.


Menteri Kewangan Lim Guan Eng, meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan tidak berasas pihak tertentu yang mendakwa program dilancarkan pada Selasa bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch 'n Go hanya strategi kerajaan untuk mendapatkan maklumat peribadi rakyat.


"Kalau kerajaan mahukan data peribadi rakyat Malaysia, ia sudah ada di dalam kad pengenalan. Ia lebih terperinci dan lebih menyeluruh.

"Semua individu yang telah mendaftar itu, mereka tahu ia dikendalikan oleh kerajaan dan kerana itu mereka yakin untuk mendaftar dan menikmati insentif berkenaan," katanya dalam satu program di Kuching.

Terdahulu, ada pihak cuba membangkitkan rasa tidak percaya rakyat terhadap kerajaan dengan mempersoal terma dalam proses pendaftaran program e-Tunai Rakyat dengan mendakwa data peribadi rakyat dikumpul dan mahu digunakan pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Lim berkata, data-data tersebut akan disimpan secara sulit oleh agensi pelaksana program tersebut, Khazanah Nasional Berhad.

"Di sini janganlah terbawa-bawa oleh pihak tertentu yang mungkin iri hati dengan sambutan baik atas e-wallet ini (e-dompet). Mereka cuba memperkotak-katikkan usaha ini," katanya lagi.

Sementara itu, dalam tempoh kurang 48 jam sejak pelaksanaan program e-Tunai Rakyat, sebanyak RM24 juta telah dibelanjakan kerajaan kepada rakyat yang layak.

Beliau berkata, program itu menerima reaksi yang menggalakkan dengan 800,000 permohonan diterima.

Inisiatif berkenaan diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lepas yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.

Post a comment

0 Comments