Fakta bercanggah, kes terhadap Anwar ditutup


JABATAN Peguam Negara membuat pendirian tidak akan mendakwa Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual terhadap Muhammed Yusoff Rawther kerana terdapat percanggahan fakta dalam kes itu.

Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata dalam kenyataanya berkata, percanggahan fakta material itu tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana individu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

“Dalam hal keadaan yang demikian, kami bersetuju dengan saranan PDRM supaya kes ini ditutup,” katanya.

Sebelum ini, seorang lelaki, Muhammed Yusoff Rawther membuat akuan bersumpah mendakwa telah diserang secara seksual oleh Anwar di Segambut pada 2 Oktober tahun lalu.

Muhammed Yusof juga sudah melakukan ujian poligraf di Bukit Aman pada 17 Disember tahun lalu.

Anwar walau bagaimanapun menafikan dakwaan salah laku seks yang dilemparkan terhadapnya dan berkata pada tarikh berkenaan beliau sedang sibuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Sementara itu, Engku Nor Faizah menjelaskan bahawa Peguam Negara Tommy Thomas tidak terbabit dalam kes itu kerana pernah dikaitkan dengan Anwar.

"(Peguam Negara) telah menarik diri daripada membuat apa-apa pertimbangan berhubung kes itu.

“Satu pasukan timbalan pendakwa raya di bawah pengawasan saya sudah diamanahkan untuk mengkaji keterangan dan selanjutnya membuat keputusan mengenainya,” katanya.

Post a comment

0 Comments