Fuziah kritik pelan pelupusan sisa Lynas


PENGUMUMAN Lynas Corporation sebuah tapak kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk sisa penulenan air larut lesap (WLP) daripada kilang nadir bumi dipersoalkan.

Apalagi bila syarikat tersebut mendakwa mereka telah mendapat kelulusan tapak dari Kerajaan Negeri Pahang.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata kawasan Bukit Ketam disempadan Pahang dan Terengganu yang dikatakan sebagai tapak tersebut bukan kawasan terpencil seperti didakwa, malah ia kawasan yang penting bagi penduduk negeri itu sendiri.

Kawasan itu yang berada 30 km ke utara Kuantan didakwa terletak hanya beberapa kilometer dari Felda Bukit Kuantan.

"Bukit Ketam terletak di sempadan Terengganu dan bersebelahan dengan Bukit Kuantan di satu sisi.

"Secara kebetulan, Bukit Kuantan juga adalah kawasan tadahan air bagi Sungai Kuantan dan pam air ke loji rawatan Semambu yang memproses air minuman untuk 600,000 penduduk Kuantan.

"Adakah kerajaan negeri Pahang mahu menjejaskan keselamatan penduduk Kuantan dengan membiarkan sisa Lynas PDF dibina di Bukit Ketam?" Soalnya dipetik laporan itu.

Fuziah sebelumnya merujuk kenyataan Setiausaha syarikat Lynas, Andrew Arnold hari ini yang berkata tindakan awal sewajarnya bagi pembinaan PDF telah dibuat.
 
Fuziah turut mempersoal kesahihan kenyataan dibuat Andrew itu .

"Saya ingin mengingatkan Lynas bahawa tindakan sewajarnya itu (due diligence) tidak cukup untuk (meluluskan) tapak PDF. Ia perlu bagi kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci," katanya.

Jelas Fuziah lagi: "Lynas pada suatu ketika membuat dakwaan bahawa mereka telah mendapat kelulusan Sirim (Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia) untuk (produk) condisoil mereka tetapi itu tidak benar sama sekali.

"Hari ini Lynas cuba untuk memperdaya orang ramai sekali lagi," katanya menurut portal itu lagi.

Post a comment

0 Comments