Gerakan Syiah di Selangor makin bercambah


GERAKAN Syiah di Selangor dilapor semakin meluas dan berada pada tahap membimbangkan.

Perkara itu didedahkan sendiri Pengerusi  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Jelas  Khusrin Munawi, sejak beberapa tahun lalu, pihaknya mengesan pertambahan pusat kegiatan pengikut ajaran yang semakin bertambah di sekitar negeri itu.

“Dari semasa ke semasa, ajaran Syiah dilihat semakin kuat dan makin bercambah.

“Sekiranya dulu mungkin kita kesan hanya dua atau tiga pusat kegiatan (ajaran Syiah) saja di Selangor, tetapi sekarang  bertambah mungkin ada 14 ke 15 (pusat)," jelasnya pada satu program di Shah Alam siang tadi.

Difahamkan, beberapa kawasan antaranya  Puchong, Gombak dan Klang dikesan menjadi pusat perkembangan ajaran yang menkafirkan sahabat-sahabat nabi itu.

Sementara itu tegas Mohammed Khusrin, pihaknya percaya pertambahan bilangan kumpulan dan pengikut Syiah ekoran wujudnya bantuan daripada pihak tertentu untuk mengembangkan kegiatan dan aktiviti sambutan bagi ajaran itu pada hari tertentu.

“... dan penyebaran ajaran Syiah dalam media sosial juga menjadi satu cabaran kepada kita untuk mengekangnya dan yang turut menjadi kesukaran bagi kita adalah sebab pengikut ajaran ini sukar dikesan.

"Mereka ini tidak akan mengaku mereka (mengamalkan) ajaran Syiah selain amalan mereka juga tidak banyak berbeza daripada kita yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Justeru katanya, MAIS dan agensi berkaitan di negeri ini akan terus mempergiatkan usaha memantau gerakan ajaran Syiah selain pada masa sama, memberi penerangan mengenai bahaya ajaran itu kepada orang ramai terutama di sekolah dan masjid di seluruh Selangor.

Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2 dan 3 Mei 1996, menetapkan umat Islam Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak dan selain dari itu adalah dilarang.

Sebahagian Ilmuan Agama mentafsirkan Syiah terutama bermazhab Imamiyah sebagai sesat.

Post a comment

0 Comments