Gunung berapi: Tiada rakyat M'sia di Manila terjejas


PIHAK
Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) malam tadi menangguhkan sementara penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila.

Ia susulan abu yang menutupi landasan disebabkan letusan Gunung Berapi Taal di Pulau Luzon yang terletak kira-kira 100 kilometer (km) daripada Manila semalam.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), jurucakap CAAP Eric Apolonio berkata penangguhan sementara itu bermula jam 6.22 pagi hingga 11 €‹malam (pelepasan) dan dari jam 7 pagi hingga ke 11 malam (ketibaan).

Tambah laporan itu lagi, berkuasa sedang membincangkan kemungkinan untuk menukar laluan semua penerbangan NAIA yang tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Clark di Pampanga.

Syarikat penerbangan Philippine Airlines difahamkan menukar laluan tiga penerbangan antarabangsa ke Clark dan membatalkan semua penerbangan yang sepatutnya dijadual berlepas dari pukul 7 pagi hingga 11 malam.

Manakala syarikat penerbangan Cebu Pacific (CEB) dan AirAsia Philippines menasihati penumpang mengemas kini jadual penerbangan mereka.

Gunung berapi Taal dilaporkan meletuskan debu, sekali gus dijangka membabitkan program pemindahan ribuan penduduk.

Ahli seismologi kerajaan negara itu merakamkan berlaku pergerakan magma di bawah kawah Taal, satu daripada gunung berapi paling aktif di selatan Manila dam menaikkan tahap amaran kepada empat.


Tiada rakyat M'sia terbabit


Sementara itu,  Wisma Putra menjelaskan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dengan insiden letusan gunung berapi itu.

Wisma Putra dalam kenyataan malam ini memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan dan situasi semasa kejadian itu yang berlaku tengah hari Ahad.

“Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) mengeluarkan status amaran gunung berapi Taal berada pada tahap empat (letusan berbahaya).

“Penduduk di kawasan terjejas sudah dipindahkan,” kata agensi itu.

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang berada berdekatan kawasan terjejas supaya lebih peka dan berwaspada dengan situasi semasa selain mengikut arahan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila menerusi talian +63 2 8662 8200 atau emel kepada mwmanila@kln.gov.my.

Post a comment

0 Comments