Helikopter Nuri tamat perkhidmatan


SETELAH
50 tahun, Operasi 12 buah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akhirnya ditamatkan.

Panglima TUDM Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata pesawat berkenaan terlalu uzur untuk beroperasi malah kos menyelenggaranya pula terlalu mahal.

“Jika TUDM ada duit sekalipun untuk membeli peralatan selenggara Nuri, ia memakan masa yang lama iaitu antara sembilan bulan hingga ke 18 bulan untuk memperoleh alat gantian.

“Selain itu, TUDM mempunyai perancangan untuk menggantikan pesawat berkenaan tetapi ia masih di peringkat penilaian,” katanya dipetik Bernama.

Ackbal sebelumnya hadir pada sidang media khas Panglima TUDM, di Kuala Lumpur. Sebagai rekod, Ackbal Abdul Samad dilantik sebagai Panglima TUDM ke-19 berkuat kuasa Jumaat lalu bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu.

Pesawat Nuri atau
Sikorsky S-61A-4 pernah beberapa kali mengalami nahas termasuk terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1991.

Antaranya terhempas pada tahun 2010 di Sintok Kedah, pada tahun 2016 di Tawau Sabah dan Butterwoth Pulau Pinang tahun yang sama manakala yang terbaharu pesawat itu melakukan pendaratan cemas pada Ogos 2019 di Kem Gubir, Alor Star.

Sementara itu Ackbal mengakui setakat ini beberapa jenis helikopter telah dikenalpasti untuk menggantikan Nuri sebagai tambahan kepada aset sedia ada.

Post a comment

0 Comments