Imigresen gempur Genting Highlands, buru PATI


SERAMAI 54 warga asing dari pelbagai negara ditahan dalam serbuan di taman tema popular di pusat peranginan Genting Highlands semalam.

Operasi serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Pahang itu yang dijalankan selama hampir empat jam bermula 3 petang adalah bagi mengesan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau yang tamat tempoh.

Pengarahnya Muhammad Hatta Kassim berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 18 warga Myanmar diikuti Indonesia (12 orang), Bangladesh (sembilan orang), Pakistan (tujuh orang), India (empat orang), Nepal (tiga orang) dan seorang warga Filipina.

"Mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 42 tahun dan berdasarkan risikan sebelum ini, dipercayai bekerja di situ termasuk ada yang ditugaskan di kaunter hadapan.

Pemeriksaan awal mendapati ada di antara mereka baharu tiba di negara ini dan mempunyai pas lawatan sosial," katanya pada satu sidang media.

Selain itu jelas Muhammad Hatta, ada warga asing yang ditahan menyalah guna pas lawatan sosial untuk bekerja.

"Mereka dipercayai bekerja dengan empat majikan berbeza dan majikan terlibat akan dipanggil untuk membantu siasatan sebelum dihadapkan ke mahkamah kerana menggaji pendatang asing," katanya.

Susulan penahanan itu, semua warga asing yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Kemayan di Bera, dekat sini untuk tindakan selanjutnya.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini menegaskan komitmen mereka mengatasi isu kebanjiran warga asing melalui agensi penguatkuasaan.

Ia termasuk aktiviti penguatkuasaan ke atas pendatang tanpa izin dan majikan yang menggaji mereka.

 

Post a comment

0 Comments