Jack Ma derma RM59 juta perangi koronavirus


LELAKI terkaya China, Jack Ma bakal mendermakan AS$ 14.5 juta atau kira-kira RM59.3 juta kepada negara itu.

Jack Ma, pengasas bersama Alibaba dan tokoh industri teknologi menawarkan bantuan itu sebagai sebahagian usaha memerangi wabak koronavirus yang semakin meruncing.

Memetik laporan Blomberg, bantuan itu disalurkan  Alibaba Group Holding Ltd melalui yayasan amalnya, bergabung dengan Bill dan Melinda Gates dalam mencukupkan dana 1 bilion yuan selain berkongsi kepakaran kecerdasan buatan dengan penyelidik.

"Kami tahu bahawa pertempuran antara manusia dan penyakit adalah perjalanan yang panjang.

"Wang ini akan membantu pelbagai usaha penyelidikan perubatan dan pencegahan penyakit." kata yayasan itu dalam akaun Twitter Weibo.

Industri teknologi China bertindak balas dengan segera terhadap wabak yang menjangkiti ribuan orang dan membunuh lebih 150 orang di seluruh dunia.

Pony Ma Tencent Holdings Ltd menyumbangkan 300 juta yuan dalam bentuk barangan dan akan menyediakan perkhidmatan pemetaan dan data; syarikat e-hailing, Didi Chuxing membawa kakitangan perubatan dalam kawasan terjejas; Robin Li’s Baidu Inc dan pemilik TikTok, ByteDance Inc menyumbang bantuan kewangan.

Ketika Jack Ma dan syarikatnya dituduh memerah tenaga pekerja, banyak syarikat seperti Tencent memperluaskan cuti Tahun Baharu Cina satu minggu atau lebih selepas wabak itu tercetus.

Post a comment

0 Comments