Johor banjir lagi, 212 dipindahkan


EMPAT pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Johor dibuka selepas beberapa daerah di negari itu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat dan ribut.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri, Tan Chen Choon berkata, setakat jam 8 pagi ini, empat daerah terjejas iaitu Johor Bahru, Kulai, Kluang dan Pontian.

Menurutnya, seramai 212 mangsa daripada 59 keluarga yang terjejas telah dipindahkan.

Lewat petang semalam jelasnya, dua PPS iaitu Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10 di Johor Bahru dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jubli Intan Renggam di Kluang.

"Dua lagi PPS iaitu SK Sri Bunian di Pontian dan Balai Raya Kampung Saleng di Kulai mula dibuka awal pagi ini.

“Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10 yang terjejas akibat banjir kilat menempatkan mangsa paling ramai iaitu 120 mangsa daripada 37 keluarga diikuti SK Jubli Intan Renggam iaitu 40 mangsa daripada 11 keluarga,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara SK Sri Bunian pula menempatkan 30 mangsa daripada lima keluarga manakala 22 mangsa daripada enam keluarga yang terjejas akibat ribut pula berada di Balai Raya Kampung Saleng.

Dalam perkembangan terbaharu, Tan dalams atu laporan lain memberitahu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jubli Intan, Renggam yang menempatkan 39 mangsa sebelum ini, sudah ditutup tengahari tadi.

Kini hanya tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah di Johor membabitkan 169 mangsa daripada 48 keluarga.
 

Post a comment

0 Comments