Kadar tol Plus turun 18 peratus mulai tahun ini - PM


KADAR tol di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bakal turun sehingga 18 peratus mulai tahun ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, penurunan kadar kutipan tol itu dibuat setelah kerajaan bersetuju untuk tidak meneruskan hasrat menjual konsesi lebuh raya itu seperti diputuskan pada mesyuarat Kabinet semalam.

"Kita telah mengkaji bidaan yang dilakukan oleh semua pihak dan memutuskan cara terbaik ialah tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak sebaliknya terus kekal bersama Khazanah Nasional Bhd dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

"Mereka tidak perlu membeli apa-apa (pegangan saham) dan boleh menurunkan kadar tol tanpa memberi kesan besar kepada pendapatan," katanya dipetik laporan Sinar.

Menurutnya, penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi tempoh 30 tahun.

"Ini bermakna kadar tersebut sangat rendah (buat pengguna lebuh raya PLUS).

"Kita sedar akan berlaku peningkatan kenderaan tetapi apa yang bakal diperolehi mereka (PLUS) tidak setinggi yang disangka kerana nilai tersebut akan mengecil pada masa akan datang," katanya.

Oktober tahun lalu Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengesahkan menerima empat tawaran mengambil alih kepentingan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam konsesi lebuh raya PLUS.

Katanya, empat syarikat yang mengemukakan tawaran itu ialah Widad Business Group (WBG), Maju Holding Sdn Bhd dan RRJ Capital, selain ahli perniagaan yang juga jutawan, Tan Sri Halim Saad.

Sebagai rekod, berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU14 lalu menyatakan bahawa gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya.

Ia melalui rundingan untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Bagaimanapun, Dr Mahathir pada Oktober yang dipetik satu laporan oleh FMT menegaskan HARAPAN tidak pernah berjanji akan menghapuskan tol menerusi manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Post a comment

0 Comments