Karim Bujang dipilih calon PRK Kimanis


DATUK
Karim Bujang diumumkan sebagai calon mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat mengumumkan nama Ketua Bahagian Kimanis itu pada Majlis Pelancaran Jentera bagi PRK itu di Dewan Terbuka Membakut semalam.

Karim, 67, ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, namun kalah dengan marjoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Karim yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan selama lima penggal dari tahun 1990 hingga 2013  memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, pemilihan Karim sebagai calon untuk mewakili parti kerajaan itu  dibuat selepas melihat perjuangan serta pendiriannya untuk mencabar keputusan bagi kerusi Parlimen Kimanis pada PRU ke-14 di mahkamah.

Mohd Shafie berkata Karim adalah seorang pemimpin politik berpengalaman luas dan mempunyai semangat juang tinggi selain tidak pernah kalah dalam pilihan raya sebelum ini kecuali pada PRU14.

“Pada pilihan raya lepas (bagi kerusi Kimanis pada PRU ke-14) ada isu berbangkit dan itu yang masuk mahkamah. Jadi, mahkamah putuskan bahawa perlu ada PRK... maknanya dia (Karim) tidak kalah.

“Jadi, dari segi perjuangan, pengalaman, saya mempertimbangkan secara dalam (untuk memilih Karim sebagai calon Warisan).

“Kita perlukan seorang daripada suku kaum Brunei yang berani bersuara lantang mengenai kepentingan masyarakat Brunei,” kata Ketua Menteri itu.

Post a comment

0 Comments