Kehadiran PAS ke Sabah tak dialu-alukan - Senator


PAS diingatkan tidak hadir ke Sabah bagi membawa kebencian dikalangan rakyat negeri itu. 

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi menegaskan, kedatangan Pas untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis tidak dialu-alukan sama sekali.

Beliau bimbang kehadiran parti itu kelak hanya akan menganggu-gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.

“Saya dulu pun bekas Pas selama lebih 20  tahun, jadi saya kenal cuma saya kira PAS khususnya maaf kata, tidak sesuai untuk Sabah.

“Sebab bila ada parti yang membawa isu perkauman, balik-balik isu perkauman atau keagamaan dan saling bersangka buruk sesama agama khususnya di Sabah dan Sarawak, ia tidak sesuai,” katanya di Kampung Sri Serbang awal minggu ini.

Mengulas lanjut katanya, Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang unik dan rakyat hidup bersatu tanpa mengira perbezaan agama dan budaya.

“Semangat perjuangan yang membenci agama lain atau prejudis terhadap agama lain sedangkan mereka masih ramai keluarga mereka (bukan Islam).

“Memang pasti tidak sesuai, jadi kita minta rakyat Sabah khususnya untuk menjaga keharmonian kita di sini,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Pas dilaporkan sudah mula berkampung di Kimanis bagi membantu kemenangan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Parti itu turut membuka beberapa bilik gerakan khusus termasuk bilik operasi bagi memudahkan urusan bantuan dari luar Kimanis.

Post a comment

0 Comments