Kene cekup jual air ketum campur ubat batuk


EMPAT
lelaki termasuk tiga warga Thailand ditahan pihak berkuasa dalam dua serbuan berasingan di Kelantan semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi dipetik berkata suspek berumur 22 hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi di sekitar Pasir Mas bermula 6.30 petang hingga 11.30 malam tadi.

Kesemua mereka dipercayai terlibat dalam pengedaran air ketum yang dicampur ubat batuk.

"Dalam serbuan pertama di Jalan Besar Rantau Panjang pada 6.45 petang semalam pihak kami berjaya menahan tiga lelaki Thailand dan berjaya merampas 82 botol ubat batuk (9.84 liter), 57 bungkus cecair kehitaman disyaki campuran air ketum dan ubat batuk (34.2 liter) dan satu jag berisi satu liter cecair kehitaman juga disyaki campuran ubat batuk dan air ketum.

"Serbuan kedua pula pasukan kami menahan seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun selepas pemeriksaan di bawah rumahnya menemui sebanyak 216 botol mengandungi 23.76 liter cecair disyaki ubat batuk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azhari, rampasan termasuk air ketum yang sudah dipaket untuk dijual dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM607 dipercayai wang hasil jualan air ketum berkenaan.

"Siasatan yang dijalankan mendapati kesemua daun ketum yang diproses diperolehi dari Kedah. Air rebusan daun ketum yang dicampur dengan ubat batuk dijual kepada pelanggan dengan harga RM20 sebungkus," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments