Kes denggi di Pulau Pinang turun mendadak


PULAU PINANG mencatatkan penurunan ketara kes berkaitan denggi.

Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan memaklumkan kes demam denggi di negeri itu turun sebanyak 432 kes atau 85.38 peratus kepada 74 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 11 Jan lepas berbanding 506 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Dalam tempoh itu juga, hanya satu kematian akibat denggi direkodkan berbanding dua kematian untuk tempoh sama tahun lepas.

"Bagi minggu kedua tahun ini iaitu 5 Jan hingga 11 Jan, sebanyak 31 kes denggi telah dilaporkan berbanding 43 kes pada minggu pertama (29 Dis hingga 4 Jan) iaitu penurunan 12 kes atau 27.91 peratus," menurut kenyataan itu.

Jabatan Kesihatan negeri juga memaklumkan  terdapat tujuh lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang.

Ia ialah Kampung Mutiara, Midland Condominium, Greenlane Height Blok G, Flat Kampung Melayu, Quayside Condo dan Taman Kristal Apartment di daerah Timur Laut serta Taman Seri Puteri di daerah Barat Daya.

Selain itu, terdapat tiga lokaliti panas iaitu Vista Condo dan Jalan Chee Seng 1-10 di daerah Timur Laut serta Perkampungan Valdor B di daerah Seberang Perai Selatan.

Sementara itu, kenyataan itu turut menasihatkan orang ramai tidak merasa terlalu selesa dengan penurunan kes tersebut.

Penduduk dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit badan atau sendi, mengalami muntah, ruam pada kulit dan kurang selera makan.

"JKNPP mengingatkan masyarakat untuk terus mengambil langkah-langkah segera bagi menghentikan penularan penyakit denggi dengan melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar masing-masing bagi mengenal pasti dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu," menurut kenyataan itu lagi.

Post a comment

0 Comments