Kes influenza di P.Pinang, Perak dan Selangor meningkat


JUMLAH kes influenza terutama dikalangan pelajar sekolah dilapor menunjukkan peningkatan di beberapa buah negeri.

Memetik sumber dari Bernama, Pulau Pinang mencatatkan peningkatan murid dijangkiti influenza seramai 178 orang berbanding 161 orang pada Rabu.

Pengarah Pendidikan Negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata 87 sekolah rendah dan menengah terlibat kes itu berbanding 77 sekolah bagi tempoh serupa.

"Ia melibatkan 159 murid daripada 68 buah sekolah rendah dan 19 pelajar daripada 19 sekolah menengah dengan tujuh orang sedang menerima rawatan di hospital, manakala selebihnya dikuarantin di rumah masing-masing.

Di negeri Perak Pula, kes influenza telah dikesan di sembilan daripada 12 daerah di negeri itu.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri, berkata, sehingga kini seramai 79 pelajar disahkan dijangkiti influenza dan daerah terlibat kes tersebut mengikut jumlah pelajar ialah Kinta (34 kes); Bagan Datuk (17 kes); Larut, Matang dan Selama (12 kes); Manjung (8); Kuala Kangsar (4); serta masing-masing satu kes di Perak Tengah, Kerian, Hilir Perak dan Batang Padang,

Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti) dalam daerah Bagan Datuk kekal menjadi satu-satunya sekolah yang ditutup selepas 10 pelajarnya positif Influenza A, sejak Sabtu lepas.

Manakala di Selangor, 67 peratus daripada 237 individu yang dilaporkan positif influenza di negeri itu terdiri dari golongan pelajar.

Simptom penyakit serupa influenza (ILI) 

Statistik Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga Khamis melaporkan, 548 pelajar daripada 194 sekolah juga mempunyai simptom penyakit serupa influenza (ILI).

Bagaimanapun, Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, rakyat di negeri itu tidak perlu panik kerana kes ILI bukanlah jangkitan influenza A seperti ditularkan dalam media sosial.

“Rakyat tidak seharusnya panik kerana situasi masih terkawal dan hanyalah jangkitan virus saja, belum sampai ke tahap wabak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pengurusan dan kawalan jangkitan virus Influenza A peringkat negeri, semalam.


Kes di Johor menurun

Berbanding di ketiga-tiga negeri itu, jumlah kes membabitkan Influenza di Johor menunjukkan penurunan

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Negeri Johor Aminolhuda Hassan berkata jumlah itu menurun kepada sembilan termasuk dua bayi berbanding 13 kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di hospital itu semalam.

Aminolhuda berkata selain itu, terdapat lapan lagi pesakit dewasa yang turut disahkan dijangkiti wabak berkenaan dan sedang menerima rawatan susulan.

Sebagai rekod, influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Post a comment

0 Comments