Kimanis: Anwar gesa pemimpin belajar dari kegagalan


PEMIMPIN Pakatan Harapan (HARAPAN) dan rakan sekutunya Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu menerima kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis. tegas Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas keputusan PRK Kimanis semalam berkata, kekalahan calon Warisan itu bukan masa untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran buat pemimpin HARAPAN sendiri.

"Tindakan harus diambil dan kalau tidak dapat terima kenyataan ini, kesannya parah.

"Ini bukan sahaja tanggungjawab Tun Mahathir untuk selesaikannya malah ia adalah tanggungjawab saya serta pimpinan PH untuk memikirkan langkah yang lebih berkesan untuk menangi semula hati rakyat yang nampak terluka,"kata Anwar semasa majlis sambutan Tahun Baru Cina di Port Dickson malam tadi.

Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin mengekalkan penguasaan BN di perlimen itu apabila menang dengan majoriti 2,029 undi menewaskan pencabarnya, Datuk Karim Bujang yang hanya mendapat 10,677 undi.

Susulan itu menurut Anwar, pemimpin HARAPAN perlu berusaha lebih keras menunaikan janji dan harapan bagi memenangi semula hati rakyat.

"Jelas masalah rakyat ketika ini adalah masalah ekonomi. Sehari di sana saya tengok pekebun getah kecil, infrastruktur dan kemudahan yang perlukan perubahan.

"Saya percaya nanti kita dapat buat perubahan baik selepas ini," katanya.

Post a comment

0 Comments