K'jaan Johor serah milik geran kepada 243 peneroka felda


PENANTIAN
243 peneroka Felda Lok Heng Selatan dekat Kota Tinggi akhirnya berakhir apabila mereka menerima hak milik geran tanah dari Kerajaan Negeri Johor semalam.

Penyerahan geran itu yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal difahamkan merangkumi 243 plot hak milik bagi tapak rumah dan 336 plot hak milik tanah bagi tapak ladang.

Menurut Dr Sahruddin, geram itu diberikan setelah permohonan untuk mengeluarkan hak milik tapak ladang dan rumah bagi peneroka peringkat dua telah diluluskan dalam mesyuarat pada tahun lepas.

"Jumlah keluasan keseluruhan yang diterima (setiap peneroka) masih dalam skala lebih kurang 10 ekar (empat hektar). Pembayaran Notis 5A peneroka Felda Lok Heng Selatan peringkat dua adalah sebanyak RM102,735 dan pihak FELDA sendiri telah menyelesaikan bayaran ini pada Oktober tahun lepas," katanya selepas majlis penyerahan geran hak milik tanah peneroka .

Sementara itu, pada Jun tahun lalu, Dr Sahruddin mendedahkan, sejumlah 23,000 hak milik tanah telah diserah milik kepada peneroka Felda.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) amat memahami malah prihatin dengan isu berkaitan hak milik tanah dan berusaha sedaya upaya menyelesaikan sebarang masalah pada kadar segera demi kebajikan peneroka dan generasinya.

"Bagaimanapun, harus diketahui dan difahami bahawa semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini merupakan perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit bukan sahaja untuk tanah-tanah FELDA.

"Sesungguhnya, kerajaan negeri amat sedar bahawa tanah merupakan aset yang sangat penting dan bernilai bukan sahaja kepada para peneroka, malah kepada sesiapa sahaja di antara kita," kata beliau lagi.
 

Post a comment

0 Comments