Koronavirus: Sabah beku semua penerbangan dari Wuhan


KERAJAAN Sabah membekukan semua penerbangan ke Wuhan, China berikutan wabak koronavirus yang melanda wilayah berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, keputusan itu melibatkan kira-kira  14 penerbangan ke Wuhan setiap minggi.

Jelasnya, semua penerbangan ke wilayah itu hanya akan beroperasi semula apabila wabak yang mencetus kebimbangan global itu dapat diselesaikan.

“Hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan dan penerbangan ke wilayah lain di China masih berjalan seperti biasa,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri si Kota Kinabalu.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah sudah melaksanakan beberapa langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus, khususnya pemeriksaan kesihatan kepada individu yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Kita bukan sahaja membuat pemeriksaan kepada pelancong, malah ia juga membabitkan rakyat kita yang baru balik dari melancong.

“Kita tidak tahu dari mana mereka melancong, oleh itu mereka juga harus mendapatkan pemeriksaan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai tindakan beberapa hotel di Sabah yang mengeluarkan larangan memakai penutup mulut kepada pekerjanya bagi menjaga hati pelancong, Mohd Shafie berkata pihaknya akan melihat perkara itu.

“Apa yang penting adalah menjaga di pintu masuk Sabah. Namun, saya akan melihat isu ini dan saya yakin tidak semua hotel mengeluarkan arahan itu. Kita akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membendung masalah ini,” katanya dipetik.

Post a comment

0 Comments