Koronavirus : WHO mengaku tersalah tafsir risiko


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengaku tersalah dalam membuat penilaian mengenai wabak koronavirus.

Agensi berpangkalan di Geneva itu menjelaskan bahawa mereka telah menyatakan ‘dengan tidak tepat’ bahawa risiko pada peringkat global adalah ‘sederhana’.

Sedangkan laporan asal mendedahkan risiko jangkitan di China, peringkat serantau dan global adalah pada paras tertinggi.

Susulan kesilapan itu, WHO dikritik, bagaimanapun penilaian terbaharu itu difahamkan tidak akan mengubah apa-apa terutamanya berkenaan dengan pengumuman darurat antarabangsa oleh WHO sebelum ini.


BACA: Koronavirus: WHO enggan isytihar darurat global

BACA:  K'jaan ambil langkah drastik tangani koronavirus

WHO sebelum ini memutuskan untuk tidak mengisytiharkan darurat antarabangsa susulan penularan koronavirus.

“Ini adalah kecemasan di China tetapi ia belum menjadi kecemasan kesihatan global,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Virus itu kali pertama dikesan di Wuhan, China sejak 31 Disember tahun lalu.

Ia melibatkan sekumpulan kes pertama yang menunjukkan tanda-tanda pneumonia atas sebab yang tidak diketahui.

Virus berkenaan juga dikatakan tidak sepadan dengan mana-mana virus yang diketahui dan ia sekali gus membangkitkan kebimbangan apabila virus baharu itu tidak diketahui kaedah bagaimana ia mempengaruhi orang ramai.

Sehingga kini, koronavirus direkodkan telah berjangkit di 18 buah negara melibatkan sebanyak 92 kes di luar China.

Post a comment

0 Comments