Lagenda musik Kesuma Booty meninggal dunia


PENGASAS Booty Boys Studio, Kesuma Booty, 69, meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur semalam.

Berita kematian Allahyarham disahkan anaknya, Alfa Booty dan disiar portal berita.

Menurut Alfa, bapanya sudah lama menderita akibat beberapa penyakit seperti angin ahmar, bronkitis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Bapa sudah terlantar sejak lima tahun lalu. Bagaimanapun, baru-baru ini arwah dimasukkan ke hospital selama lapan hari.

“Empat hari lalu, doktor membenarkan bapa pulang kerana keadaannya kesihatannya semakin merosot... Ketika itu, bapa sudah tidak sedarkan diri.

“Arwah menghembuskan nafas terakhir selepas sesak nafas kira-kira jam 12.30 pagi,” katanya dipetik.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate.

Sebagai rekod, Kesuma Booty adalah anak kepada legenda filem Melayu era Studio Jalan Ampas iaitu Allahyarham Kasmah Booty, Allahyarham Kesuma mengasaskan Booty Boys Studio bersama adik-beradiknya Surya dan Purnama.

Allahyarham juga menjadi antara individu yang memainkan peranan penting dalam penubuhan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad sebagai syarikat pada 1989.
 
Studio muzik milik adik-beradik itu menjadi antara pusat rakaman popular dalam kalangan penyanyi terkenal seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Zainal Abidin serta band seperti Search, Wings, Lefthanded dan Bloodshed pada era 1980-an.

Post a comment

0 Comments