Lagi pangkalan tentera AS dibedil roket.


KETEGANGAN di rantau Asia Barat kembali hangat sebuah pangkalan tentera udara Amerika Syarikat (AS) di Iraq dibedil.

Sebanyak lapan roket Katyusha dilancarkan ke atas pangkalan tentera udara Al-Balad di wilayah Salahuddin yang terletak kira-kira 80 kilometer di utara Baghdad.

Difahamkan pangkalan itu menempatkan kontinjen kecil tentera udara dan kontraktor AS. Bagaimanapun, majoriti daripada mereka telah dipindahkan susulan ketegangan memuncak antara Washington dan Teheran sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, sumber tentera mengesahkan empat askar Iraq turut cedera selepas bom mortar tersebut mengenai landasan di dalam kemudahan terbabit.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan tersebut.

"Kira-kira 90 peratus daripada penasihat dan kakitangan Sallyport dan Lockheed Martin yang merupakan pakar dalam kerja penyelenggaran pesawat telah dipindahkan ke Taji dan Erbil atas faktor keselamatan

"Kini hanya tinggal kurang daripada 15 anggota tentera AS dan sebuah pesawat di al-Balad," jelas satu sumber.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) melancarkan 22 misil sebagai serangan balas dendam ke atas pangkalan Ain al-Asad dan Erbil atas kematian komander kanan, Leftenan Jeneral Qasem Soleimani pada 3 Januari lalu.

Post a comment

0 Comments