LTdL: Pasukan dari China tarik diri


PASUKAN berpangkalan di China, Hengxiang Cycling sah menarik diri daripada menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang bermula 6 Feb ini.

Keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga ekoran penularan 2019 novel koronavirus.

Bagaimanpun Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen A Hamid berkata kekosongan itu tidak akan menjejaskan perlumbaan dan pihak penganjur akan mengumumkan penggantinya dalam masa terdekat

"Memang ada lagi pasukan dari China akan bertanding. Satu pasukan sudah tarik diri semalam disebabkan koronavirus.

"Sekarang kami tengah tunggu dua lagi pasukan dari China dan satu dari Hong Kong untuk pengesahan sama ada akan turut serta atau tidak," katanya dipetik Bernama.

Tegas Shahaizereen, selaku penganjur LTdL 2020, Human Voyage akan bekerjasama dengan beberapa kementerian, terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan pemeriksaan secara terperinci bagi memastikan pelumba, pegawai mahupun petugas media yang tiba dari negara China bebas daripada virus itu.

Jelasnya, pasukan dan petugas media yang tiba dari China akan menjalani pemeriksaan rapi dan dikuarantin oleh KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar.\

LTdL 2020 melibatkan lapan peringkat perumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Pulau Langkawi, selain dua perlumbaan tambahan, iaitu Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Feb dan Malaysian International Classic Race di Pulau Langkawi pada 15 Feb.

Post a comment

0 Comments