Majlis Pemimpin KEADILAN kekal pendirian calon PM8


MAJLIS
Pemimpin Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengulangi pendirian dalam pemilihan presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan sebulat suara mengenai perkara itu telah dibuat pada Januari tahun lalu dan ia mesti terus dipatuhi.

"Saya juga ingin mengatakan bahawa MPP hari ini juga telah membincangkan perkara berkaitan peralihan (kuasa), terutama sejak minggu ini, banyak pihak memberikan pendapat mereka.

"Maka MPP telah membincangkan dengan panjang lebar dan berikut adalah pendirian MPP yang diambil hari ini.

"MPP mengulangi keputusan yang dibuat oleh biro politik dan juga kongres parti berkenaan dengan kedudukan Anwar, sebagai calon PKR dan juga calon Perdana Menteri PH seperti yang diputuskan pada 6 Januari 2018," katanya.

Justeru tegas Saifuddin, semua wakil parti dalam Majlis Presiden  HARAPAN perlu mematuhi keputusan dibuat parti.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mereka yang dilantik mewakili parti tidak boleh membawa suara peribadi dalam Majlis Presiden sebaliknya kekal dengan pendirian parti yang memilih Anwar sebagai pengganti Mahathir sebagai perdana menteri interim (sementara).

“Mereka tidak boleh bawa pandangan peribadi, kerana yang mengikat kita adalah keputusan atau pandangan parti,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, Mahathir berkata beliau bersedia untuk melepaskan jawatannya serta-merta sekiranya Majlis Presiden mengkehendakinya.

Sementara itu, Anwar berulang kali mempertahankan bahawa peralihan terakhir mesti dijalankan secara aman dan teratur.

Post a comment

0 Comments