Majoriti pemimpin mahu Zuraida dipecat - Johari Abdul


KURANG sejam selepas Lembaga Disiplin KEADILAN dilapor mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida Kamaruddin, 11 dsaripada 14 pemimpin parti secara terbuka tampil mendesak agar Ahli Parlimen Ampang itu dipecat.

Difahamkan, 11 pemimpin tersebut merupakan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di peringkat negeri.

Pengerusi KEADILAN Kedah, Johari Abdul dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai secara sepakat oleh pemimpin-pemimpin terbabit yang mengadakan pertemuan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) diadakan.

Kesemua mereka tegas Johari bersetuju Zuraida dipecat atas alasan  melanggar disiplin parti selain secara terbuka mengkritik Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka dan tidak mengikut saluran parti.


Beliau juga mendakwa tuntutan itu mendapat sokongan daripada majoriti ahli akar umbi di kebanyakan negeri.

"Hari ini kami menggesa - selepas menerima desakan sama dari akar umbi, ketua-ketua cabang di negeri-negeri - untuk kami (pengerusi KEADILAN) membuat pendirian tegas menuntut agar Zuraida disingkirkan dari parti.

"Kami dengan ini menuntut supaya lembaga disiplin mengkaji sedalam-dalamnya semua tuduhan-tuduhan yang telah dibuat terhadap beliau," katanya.

Semasa membuat kenyatan itu, Johari diiringi sembilan lagi pengerusi PKR negeri termasuk dari Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dari Perak, Fuziah Salleh (Pahang), Azan Ismail (Terengganu) dan Syed Ibrahim Syed Noh (Johor).

Untuk rekod Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun turut hadir dalam pertemuan sebelum sidang media tersebut.

Zuraida hilang sokongan 


Zuraida dalam satu program tertutup bersama penyokong Azmin di Kuala Lumpur baru-baru ini membuat kenyataan yang dilihat mencabar agar dirinya bersama Azmin yang dikaitkan dengan penentangan terhadap Presiden dan penubuhan kerajaan pintu belakang dipecat.

Penyokong tegar Azmin itu juga sebelum ini pernah diberi amaran oleh Anwar sendiri agar hadir bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin parti dengan menghadirkan diri ke mesyuarat.

Sementara itu Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash menegaskan bahawa persepsi Zuraida mendapat sokongan ramai ahli akar umbi sebenarnya tidak benar.

"Macam di Perak, daripada 24 cabang 22 daripadanya mahu Zuraida dipecat... jadi untuk mengatakan beliau popular dalam kalangan Wanita, juga tak betul," dakwanya.

Kenyataan Farhash turut diakui Pengerusi KEADILAN Pahang yang berkata, dengan apa yang dilakukan terhadap parti, Zuraida tegasnya sudah hilang sokongan di kalangan anggota parti.

Post a comment

0 Comments