Malaysia hantar pulang 14 penduduk Wuhan


SERAMAI 14 warga China dari Wuhan yang tiba di negara ini yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin, sudah dihantar pulang ke negara asal.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya menerusi Jabatan Imigresen mengeluarkan arahan penghantaran pulang individu terbabit menggunakan Notis Penolakan Masuk atau ‘Not To Land Notice’ (NTL) bagi mengelak penularan koronavirus di negara ini.

“Hasil semakan dokumen dilakukan petugas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di KLIA mendapati 14 individu berkenaan berasal dari Wuhan, China. Justeru, pihak JIM mengeluarkan notis ‘Not To Land’ kepada semua individu yang seterusnya dihantar pulang.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai, pelawat dari Wuhan dan Wilayah Huibei tidak dibenarkan masuk melalui semua pintu masuk ke negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu tegasnya, langkah keselamatan sempadan juga telah dititikberatkan pihaknya memandangkan Malaysia mempunyai kawasan sempadan yang luas termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita banyak berdepan dengan kemasukan pelancong dari luar negara di setiap pintu masuk akan melalui pemeriksaan.

“Sekiranya ada warga asing yang masuk secara haram, mereka juga akan diperiksa dan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini mengambil langkah drastik membendung penularan wabak yang telah membunuh 170 orang itu.

BACA:
K'jaan ambil langkah drastik tangani koronavirus
Semua kemudahan imigresen itu merangkamui eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di sekitarnya digantung.

Post a comment

0 Comments