Masa depan Zuraida dalam KEADILAN kini samar


AHLI Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mempunyai masa 14 hari bermula semalam untuk menjawab surat tunjuk sebab diserahkan Lembagai Disiplin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kepadanya.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang ditemui media di Petaling Jaya hari ini berkata, surat itu telah diserahkan kepada Zuraida semalam.

Tanpa memberikan maklumat lanjut mengenai surat itu, ia dipercayai berkaitan dengan isu disiplin.

"Bermula semalam, beliau ada 14 hari untuk beri penjelasan dan selepas itu barulah Lembaga Disiplin akan buat apa-apa tindakan selanjutnya, sama ada pendengaran atau digugurkan.

Itu dalam tanggungjawab Lembaga Disiplin," katanya selepas menghadiri mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini hari ini.

Zuraida diketahui umum sebagai penyokong kuat Mohammad Azmin Ali ketika parti itu berdepan pertembungan dalaman.

Satu kumpulan menyokong Azmin - yang juga timbalan presiden KEADILAN - manakala satu lagi berpihak kepada Anwar Ibrahim.

BACA:
Majoriti pemimpin mahu Zuraida dipecat - Johari Abdul

Zuraida baru-baru ini mengeluarkan kenyataan keras terhadap kepemimpinan tertinggi KEADILAN terutama Anwar dan beberapa pemimpin lain dan ia terzahir dengan ketara ketika parti terbabit mengadakan kongres tahunan di Melaka baru-baru ini.

Zuraida dan Azmin sebelum ini dikritik pendokong parti itu kerana enggan hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Parti sehingga terpaksa diberi amaran untuk segera melunaskan tanggungjawab diamanahkan. Sebilangan besar penyokong dilihat mahu tindakan dikenakan terhadap Zuraida dan Azmin.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan, sebarang tindakan terhadap Zuraida selepas ini hanya akan ditentukan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim.

Zuraida pada Disember lalu membuat kenyataan mendakwa dia sedia dipecat dari parti.

Post a comment

0 Comments