Mercedes Benz: Husam dakwa beli ada agenda


ALASAN
kerajaan Kelantan bagi mempertahankan pembelian 14 buah kereta mewah Mercedes Benz untuk menteri besar dan barisan exco melukakan hati rakyat negeri itu, kata pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri, Senator Husam Musa.

Husam berkata, ia menunjukkan sikap “hipokrit” pimpinan negeri yang selama ini menguar-uarkan bahawa Islam mengamalkan gaya hidup sederhana.

"Dalam kes Kelantan kita tahu antara negeri ini mempunyai rakyat paling ramai miskin.

"Jadi dengan kemewahan yang ditunjukkan ini melukai perasaan rakyat miskin kerana segala keperluan hidup mereka belum mencukupi dan peruntukan kerajaan negeri harus utamakan kebajikan rakyat," jelasnya.

Bekas Exco kanan dibawah bekas menteri besar, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu turut menyifatkan kenyataan-kenyataan pemimpin untuk mewajarkan pembelian Mercedez Benz itu sebagai tidak telus.

"Kenyataan pemimpin kerajaan Kelantan dalam hal beli kereta juga tidak telus, kononnya ada diskaun, sedangkan diskaun ini juga terpakai kepada kereta lain juga.

“Kalau beli yang lebih murah dan dapat diskaun, perbelanjaan jadi lebih kecil. Situasi ini menunjukkan sikap hipokrit pemimpin kerajaan negeri Kelantan," tambahnya lagi.

Husam sementara itu mendakwa menjadi amalan bagi kerajaan Kelantan untuk memiliki kenderaan rasmi apabila seseorang exco menamatkan perkhidmatan dengan bayaran tertentu.

"Saya tengok amalan di Kelantan selepas habis penggal seseorang exco, kereta rasmi akan jadi milik exco berkenaan. Dengan bayaran murah seseorang exco atau pegawai tinggi yang bersara boleh memiliki kereta rasmi yang digunakan semasa dalam perkhidmatan dan jadikan sebagai kereta persendirian.

"Pendapat saya pembelian itu adalah persiapan mereka memiliki kereta mewah selepas penggal kerajaan sekarang tamat,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Samakan Mercedes dengan unta


Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah memberikan justifikasi terhadap pembelian kereta Mercedes Benz oleh kerajaan negeri baru-baru ini dengan mengambil sirah Rasulullah dan kehidupan seorang pembesar Islam.

Menurut Mohd Amar lagi, Rasulullah sendiri menggunakan unta yang hebat semasa menjadi pemimpin dulu, dikenali sebagai al-Qaswa' yang dianggap haiwan yang paling hebat, paling mahal dan paling laju pada zaman tersebut.

Tindakan Mohd Amar itu yang menyamakan unta Rasulullah s.a.w itu dikritik Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tegas Mohd Asri,  Membandingkan Rasulullah memiliki unta-unta yang baik dengan pembelian kenderaan mewah dari wang kerajaan adalah tidak tepat. Haiwan yang dijadikan pengangkutan oleh Rasulullah itu tegasnya dibeli sendiri dan tidak melibatkan peruntukan atau bajet kerajaan yang diuruskan oleh baginda.

Sementara itu, Husam menyelar tindakan Mohd Amar yang memetik nama bekas menteri besar, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengiyakan tindakan mereka dengan berkata Nik Abdul Aziz turut menggunakan kereta jenama mewah berkenaan.

"Kenapa nak guna nama tok guru (Nik Aziz), guna nama sendirilah, kereta tok guru pakai dulu kereta peninggalan BN dan kurniaan sultan," tegasnya.

Post a comment

0 Comments