MOF hulur peruntukan segera tambah pengimbas suhu


KEMENTERIAN
Kewangan akan menyegerakan secara serta-merta peruntukan tambahan untuk membeli 12 pengimbas suhu.

Langkah itu dibuat bagi mengekang penularan wabak koronavirus yang ketika ini sangat membimbangkan.

Menterinya Lim Guan Eng berkata pengimbas suhu itu memastikan proses tapisan diperkukuhkan di kawasan-kawasan pintu masuk negara.

Ia dijangka dapat memastikan kemampuan kakitangan Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti individu mempunyai simptom ditingkatkan.

“Memandangkan permohonan ini berkaitan dengan usaha perlindungan kesihatan awam dan bersifat kritikal, saya telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir memberikan kerjasama penuh supaya peruntukan ini dapat disalurkan secepat mungkin.

“Kementerian Kewangan akan memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan agar kemampuan agensi kesihatan awam untuk melakukan tugas mereka berada pada tahap yang bertepatan dengan piawaian kesihatan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil beberapa langkah mencegah penularan wabak itu di negara ini.

Ketua KKM Dr Noor Hisham berkata satu laluan khas imigresen bagi mana-mana pengembara yang berasal dari negara China juga telah diwujudkan.

kerajaan juga sebelum ini telah menggantung sementara semua kemudahan imigresen merangkamui eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di sekitarnya.

Post a comment

0 Comments