M'sia mahu laksana misi bawa balik rakyat dari Wuhan


MALAYSIA bersedia membawa pulang rakyatnya yang terperangkap di Wuhan, China kerana penularan wabak koronovirus, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada sidang media selepas mesyuarat kabinet siang tadi, Dr Mahathir memberitahu Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China bagi tujuan itu.

"Mereka (rakyat Malaysia) sekarang tidak boleh keluar dari Wuhan tetapi kita ingin runding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik ke Malaysia," katanya

Difahamkan, buat masa ini terdapat 78 rakyat Malaysia berada di Wuhan. Mereka dilapor terkandas setelah pihak berkuasa negara itu melarang individu keluar atau masuk ke daerah ditimpa bencana itu.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, sekiranya dibenarkan pulang, rakyat Malaysia berkenaan akan dikuarantin terlebih dahulu bagi memastikan mereka tidak dijangkiti koronavirus, sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Mereka akan tertakluk kepada 14 hari kuarantin bagi menentukan mereka tidak menghidap jangkitan virus tersebut " katanya.

Jepun sebelum ini jelas Dr Mahathir telah membawa keluar rakyatnya dari Wuhan setelah rundingan diadakan bersama kerajaan negara itu.

"Kita berminat juga untuk bantu Wuhan, jadi kalau kita terpaksa hantar kapal terbang untuk ambil balik rakyat kita, kalau dibenar oleh kerajaan China, kita akan bawa makanan, sarung tangan dan penutup hidung dan mulut kalau kita ada, sebab di sana pun dah kekurangan bekalan," jelasnya lagi.

Sebelum ini, ada laporan bahawa rakyat Malaysia yang terperangkap di Wuhan hanya mempunyai bekalan makanan yang mencukupi hanya untuk empat hari sahaja lagi.

Post a comment

0 Comments