Rempuh belakang kereta ketika berlumba


DUA remaja cedera manakala seorang lagi rakan mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 288.8 Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kemalangan jam 5.30 pagi berhampiran Kajang itu, ketiga-tiga penunggang berumur antara 20 hingga 22 tahun dikatakan berlumba antara satu sama lain.

Kumpulan itu kemudiannya dipercayai merempuh belakang sebuah kereta yang mengakibatkan seorang daripada mereka terbunuh.

"Ketika kejadian, pemandu kereta itu dalam perjalanan dari Nilai menuju ke Bangi.

"Tiba-tiba beberapa motosikal dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang kereta tersebut," katanya melalui kenyataan media.

Ahmad Dzaffir berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Dinesh di talian 011-33094457 bagi membantu siasatan.

Post a comment

0 Comments