NUTP kecewa Maszlee letak jawatan


KERAJAAN
Persekutuan diharap dapat meneruskan dan mempertimbangkan usaha-usaha Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam meningkatkan isu pendidikan di negara ini.

Gesaan itu dibuat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dalam satu kenyataan susulan peletakan jawatan Maszlee semalam.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, guru-guru di sekolah masih memerlukan penyelesaian yang antaranya termasuk mengurangkan bebanan kerja guru dan kemelut isu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan untuk semua khasnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU)

“Namun malangnya negara kita telah ditentukan dengan hala tuju politik dan bukan pendidikan yang sebenar.

“Pihak NUTP amat berharap Dr Mahathir dapat mempertimbangkan serta mengambil kira kesemua perkara-perkara yang telah diutarakan agar dapat menjaga institusi pendidikan negara seterusnya Malaysia sentiasa terpelihara dan sejahtera,” katanya.

Aminuddin turut meluahkan rasa dukacita atas keputusan Dr Maszlee yang meletakkan jawatannya mulai esok.

“Pihak NUTP telah melihat kesungguhan beliau sebagai seorang akademik untuk memperbaiki dan menambah baik sistem pendidikan negara kita yang merangkumi seramai 5 juta pelajar, 450 ribu orang guru dan 150 ribu orang staf sokongan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Presiden NUTP itu turut menyenaraikan pelbagai program yang menurutnya dijalankan dengan baik oleh menteri berkenaan.

“Beliau telah memulakan pelbagai program dan berusaha ke arah sistem pendidikan yang lebih baik seperti berusaha membaik pulih sekolah-sekolah daif di Malaysia.

“Mengurangkan korupsi di KPM, menyediakan jalinan internet yang cepat untuk kegunaan guru-guru, program sarapan pagi dan pelbagai usaha yang masih tidak dirakamkan,” katanya.

Dr Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang tadi selepas satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

"Dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020," kata Maszlee dalam satu sidang media.

Post a comment

0 Comments