Peguam Anwar saman Yusoff Rawter minggu depan.


PEGUAM Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh telah mengesahkan mendapat arahan daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu untuk memulakan saman fitnah terhadap Muhammad Yusoff Rawther.

Pengesahan untuk memulakan tindakan perundangan itu kurang 24 jam setelah Yusoff  membuat satu sidang media susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menggugurkan kes serangan seksual yang didakwa Yusoff.

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, Ramkarpal berkata, berdasarkan siasatan dijalankan AGC sebelum ini, jelas tidak cukup bukti untuk dakwaan dibuat yusoff melalui perisytiharan berkanun (SD) yang dibuat olehnya pada 19 November tahun lalu itu dipanjangkan ke Mahkamah.

“Saya mengesahkan bahawa saya telah menerima arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan saman fithnah terhadap Muhammad Yusoff Rawther.

"Ia berkenaan kandungan perisytiharan berkanun yang dibuat beliau pada 19.11.2019,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Pada 14 Januari lalu, Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek berkata, terdapat percanggahan fakta yang material, yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

Selain itu, pihaknya juga mendapati tidak ada cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan, sekali gus bersetuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kes itu ditutup.

Bagaimanapun, Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak dapat memaafkan Yusoff yang menuduhnya melakukan serangan seksual.

"Saya tidak dapat memaafkan tuduhan yang jelek, semberono dan yang menghina terhadap saya," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam akaun Twitter peribadinya pada Selasa.

Post a comment

0 Comments