Pelumba juga berhak nikmati SHAKAM - Hafizh Syahrin



PELUMBA sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah percaya dia dan rakan dalam sukan permotoran berhak menerima hadiah  Skim kemenangan sukan (SHAKAM) yang dinikmati atlet sukan lain.

Menurut Hafizh, sekiranya perkara itu direalisasikan, ia akan mewujudkan persaingan sihat dikalangan pelumba, yang sekaligus akan mengharumkan lagi nama negara di peringkat antarabangsa.

"Saya fikir ia  satu idea (pelumba diberi hadiah kemenangan sukan) yang sangat baik. Ini akan mendorong pelumba negara untuk tampil lebih berani bersaing bagi mengharumkan nama negara.

"Kami juga berjuang demi negara dan membawa nama Malaysia. Hadiah kemenangan seperti ini boleh dianggap bonus buat pelumba sekiranya mencipta kejayaan.

"Jadi, saya fikir sukan permotoran ini salah satu sukan yang layak untuk dipertimbangkan bagi diberikan hadiah kemenangan memandangkan sukan ini berisko tinggi," kata Hafizh dipetik Berita Harian.

Hafizh sebelumnya mengulas permintaan pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang mahu keringat pelumba profesional negara diangkat seperti mana atlet sukan lain di Malaysia.

Sementara itu, Hafizh yang akan membawa cabaran pasukan Aspar pada musim baharu ini masih mengharapkan ada pihak yang sudi menjadi penaja utama buatnya.

Buat masa ini kata Hafizh, kehadiran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai penaja sokongan dapat meringankan sedikit bebannya dan beliau terus terbuka menerima penajaan.

"Saya terbuka menerima penajaan daripada mana-mana syarikat. Mungkin jika saya mempamerkan prestasi yang baik dalam perlumbaan, akan ada pihak yang menaja saya," kata Hafizh yang tetap positif untuk mengharungi cabaran musim baharu yang bakal bermula kurang dua bulan lagi.

Post a comment

0 Comments