Penganjur LTdL didakwa gagal penuhi syarat UCI


PENGANJUR
Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage Sdn Bhd sekali lagi gagal menepati janji manisnya untuk membawa lapan pasukan berstatus Jelajah Dunia.

Memetik laporan Bernama setakat Rabu, hanya satu pasukan berstatus Jelajah Dunia, iaitu NTT Pro Cycling, mengesahkan penyertaan untuk LTdL sempena sambutan Jubli Perak perlumbaan itu yang dijadualkan bermula 6-15 Feb ini.

Sebagai rekod, syarat minimum bagi jelajah itu mengekalkan status sebagai Siri Profesional (ProSeries) Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) adalah tiga pasukan.

Kegagalan penganjur itu turut disahkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab yang kecewa dengan perkembangan itu.

Susulan itu jelasnya PKBM sedang berusaha membantu mendapatkan satu pasukan dari Kazakhstan, Astana Pro Team 2020 dan sebuah lagi pasukan dari Australia bagi memastikan syarat minimum dapat dipatuhi.

“Pihak penganjur sudah tahu syarat ditetapkan oleh UCI, saya tidak tahu apa masalah dalaman mereka. Sepatutnya selepas tamat LTdL 2019 pada April, mereka sudah boleh mula membuat persiapan awal untuk tahun ini kerana tarikh yang UCI bagi memang sama (Februari).

“Yang berjanji untuk bawa lapan pasukan itu merupakan pengarah teknikal dari Human Voyage. Ikut ketetapan UCI, daripada lapan sekurang-kurangnya tiga pasukan Jelajah Dunia, dan lima daripadanya boleh dibawa dari pasukan Pro Benua.

“Saya yakin untuk tahun ini kita boleh dapatkan pengecualian daripada UCI, tetapi untuk tahun depan, kalau tak mula awal, memang cari penyakit sendiri kerana UCI akan semak balik selepas tiga tahun dan sekiranya tidak menepati, taraf (jelajah) akan diturunkan,” katanya dipetik.

Syarikat Human Voyage (M) Sdn Bhd dilantik oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Januari 2019 sebagai pengurus kejohanan LTdL sehingga 2021.

Berikutan kelewatan dalam mendapatkan kontrak, syarikat itu telah menunda LTdL 2019 dari Februari ke April tahun lepas, namun masih gagal menarik pasukan penyertaan pasukan Pro Tour.

LTdL 2020 melibatkan lapan peringkat perumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Pulau Langkawi, selain dua perlumbaan tambahan, iaitu Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Feb dan Malaysian International Classic Race di Pulau Langkawi pada 15 Feb.

Post a comment

0 Comments